Salam sejahtera dan selamat tahun baru penulis ucapkan kepada semua pelawat creamstudents.com..
Alhamdulillah, sudah masuk 3 hari kita menjejakkan kaki ke dalam tahun baru 1429 H. Sudahkah kita memperbaharui azam kita pada tahun lepas? Mungkin ada di kalangan kita yang berjaya mencapai azam mereka pada tahun lepas, tahniah creamstudents ucapkan.
Kepada mereka yang masih belum mencapai tahap azam yang dikehendaki pada tahun lepas, eloklah segera kita memperbaharuinya dengan menambah sedikit atau banyak ‘baja’ yang diperlukan agar azam yang bercambah mengeluarkan hasilnya.
Dalam kita meniti tahun baru hijrah 1429 serta tahun baru 2008, terdapat pihak yang mencetuskan satu isu berkenaan dengan amalan membaca doa akhir tahun serta awal tahun serta mengkategorikan amalan ini satu amalan bidaah.
Ini kerana, menurut mereka, amalan seperti ini tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah sepanjang hayat baginda .
Disini penulis berkesempatan melampirkan bersama jawapan daripada Ustaz Zolkharnain Abidin Al-Hafiz berkenaan dengan amalan membaca doa awal tahun serta akhir tahun:
“Kita bukannya nak pertikai fahaman pihak-phak tertentu dalam masalah sebegini. Memanglah perkara sebegini tak dibuat oleh Nabi s.a.w. dulu, tapi salahkah kita memulakan tahun baru Islam dengan berdoa?…Allah Taala pun berfirman dalam al-Quran yang bermaksud “berdoalah kamu kepadaKu, nescaya Aku pekenankannya.”
kata beliau lagi,
“Kalau nak sebut tentang perkara bidaah, tahun hijrah pun tak ada zaman Nabi dulu. Ianya mula dikira pada zaman Saiyidina Umar memerintah.”
Disamping itu, penulis juga melampirkan bersama jawapan daripada Dr Mohd Azri Zainul Abidin yang juga merupakan mufti kerajaan negeri Perlis berhubung dengan persoalan amalan membaca doa akhir tahun serta awal tahun:
“Tidak pernah Rasulullah s.a.w. mengajar lafaz khusus doa bagi awal tahun baru hijrah atau akhir tahun. Apa tidaknya, penentuan tahun hijrah itu sebagai perkiraan kalender kita ditetapkan oleh Amirul Mukminin ‘Umar Ibn al-Khattab bagi memudahkan urusan pentadbiran kaum muslimin.
Namun secara umum seseorang boleh berdoa dengan apa-apa lafaz dan untuk apa-apa hajat sekalipun. Selagi mana tidak menyanggahi syarak, termasuklah hajat agar tahun yang dimasuki tersebut dilimpahkan kebaikan.
Adapun majlis-majlis khusus untuk doa atau zikir khas bagi tahun baru tidak pernah diajar Nabi s.a.w juga para sahabah baginda. Bahkan Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab yang memulakan perkiraan tahun Islam dengan dengan tahun berlakunya hijrah Nabi s.a.w. itu pun tidak pernah mengadakan majlis ibadah khusus yang seperti itu.
Tidaklah kita ini lebih tahu mengenai hal ehwal ibadah melebihi Nabi s.a.w. Sebaik-baik petunjuk itu adalah petunjuk Rasulullah s.a.w.”
Setelah mengamati kedua2 hujah yang disampaikan oleh kedua2 ustaz sebentar tadi, penulis berpendapat bahawa tidak salah untuk umat Islam membaca doa akhir & awal tahun kerana berdoa itu adalah satu ibadah yang diperintahkan oleh ALLAH SWT. Akan tetapi mengadakan majlis khusus untuk membaca doa akhir tahun & awal tahun sehingga menyebabkan masyarakat awam menganggapnya sebagai satu syariat adalah salah kerana amalan ini tidak dipraktiskan Rasullullah SAW dan para sahabat baginda langsung.
Penulis merenung sejenak tentang amalan2 yang dilakukan oleh masyarakat malaysia kini yang mereka sandarkan pada Islam tetapi hakikatnya amalan2 tersebut tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW serta para sahabat baginda sendiri.
Sebagai contoh, di dalam masyarakat kita dewasa ini, kerapkali kita terserempak atau mengalami kejadian di mana keluarga si mati memberi makan kepada orang yang datang menghadiri majlis tahlil untuk si mati- atau dengan kata lainnya kenduri arwah.
Istilah kenduri arwah setelah kematian si mati tidak berlaku pada zaman Rasulullah dan para sahabat, sebaliknya yang berlaku adalah sebaliknya iaitu disunnahkan mengirimi makanan kepada keluarga yang ditinggalkan bila mereka keletihan menguruskan jenazah.
Berdasarkan sabda Rasullulah SAW di hari wafatnya Ja’far bin Abi Talib RA yg bermaksud:
“Sediakanlah makanan bagi keluarga Ja’far, sesungguhnya mereka telah ditimpa musibah yang membuatkan mereka galau” (H.R Abu Dawud dan dinyatakan Sahih oleh Syeikh Al-Albani dalam ‘Ahkamul Janaaiz’ hal 167).
Keluarga yang ditimpa kemalangan tidak dibenarkan (makruh hukumnya) menghidangkan makanan untuk para pelawat. Ini berdasarkan ucapan para sahabat yang dinukilkan oleh Syeikh Al-Albani di dalam kitab yang sama iaitu:
“Kami menganggap hidangan makanan dan berkumpul di rumah si mati termasuk niyahah(ratapan yang dilarang)”.
~Wallahua’lam~
Al-Faqir ilallah; Mohd Anwar Md Yassin
Popularity: 5% [?]